Pages

Thursday 20 December 2012

Cabaran Bukannya Halangan

buku baru lagi
20.12.2012. Hari ini saya beli buku dan majalah kraf lagi. Bukan sedikit jumlahnya majalah dan buku kraf yang berbahasa selain daripada bahasa Melayu yang saya miliki sekarang terutamanya buku-buku kraf dari Taiwan. Saya langsung tidak memahaminya. Saya hanya berpandukan pada gambar-gambar yang ditunjukkan di dalam buku atau majalah tersebut. Tanpa pemerhatian yang teliti bukan mudah untuk memahami dengan cepat dan tepat.
Sebenarnya, bukan bahasa sahaja yang boleh menjadi cabaran kepada kita untuk menghasilkan kraf berpandu buku-buku tersebut. Kemahiran dan pengalaman dalam bidang jahitan juga amat berguna untuk memudahkan pemahaman. Imaginasi yang tinggi dan disertai dengan percubaan melakukannya beberapa kali juga amat membantu.  Merujuk kepada buku atau majalah tanpa guru yang mengajar bukanlah perkara yang terbaik tetapi tidak salah jika kita menjadi orang yang sentiasa ingin mencuba biarpun berpandu pada buku semata-mata.
Kadang-kadang kita tidak mempunyai pilihan kerana bukan mudah untuk mencari buku atau majalah kraf di dalam bahasa ibunda. Malah kelas-kelas untuk belajar jahitan kraf seperti beg pun agak sukar ditemui. Sekurang-kurangnya ini adalah salah satu jalan untuk menyempurnakan keinginan untuk menghasilkan kraf buatan sendiri. Dan mungkin mampu menjana pendapatan sampingan. Siapa tahu!

Wednesday 12 December 2012

Detik Waktu Terus Berlalu

12.12.12, saya sekadar merakam tarikh yang  mungkin amat bermakna pada sesiapa sahaja. Pada saya tarikh tersebut menunjukkan sudah 10 bulan (12.02.12) saya memulakan blog ilham-maniss ini. Ada dua bulan lagi untuk menuju ke angka satu tahun. Ini juga bermakna masih ada ruang  untuk saya mencipta dan  melengkapkan lagi satu kemanisan akan kewujudan blog ini sepanjang tempoh tersebut. InsyaAllah.